Klasik PKK: Tragedi Kipas

2000, Politeknik Kota Kinabalu, Likas, Sabah.

Gua tak ingat masa ni semester satu atau dua. Sebab cuma dua semester sahaja gua duduk asrama. Semester tiga gua LI, dan masa gua buat LI, asrama PKK dah terbakar. Semester empat gua duduk Taman Public bersama 10 lagi kutu yang lain. Apartmen Taman Public boleh masuk ikut lorong Hen Paya berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Shan Tao. Boleh jadi juga kisah ini terjadi masa gua duduk Taman Public.

Gua, Roslan Abu Bakar a.k.a Kangkung, Ryan Blantocas Tiomsom, Syahril Yenre, Azrai, Remang, Cakuk, Bahar, Amat Lagading dan ramai lagi duduk asrama masa tu. Cakuk, Bahar, dan Amat Lagading senior gua. Gua, Kangkung, Syahril Yenre dan Azrai duduk sebilik dan juga sekelas. SEP. Cuma Ryan saja duduk bilik lain. Bilik hujung bersebelahan Stadium Likas yang dipisahkan dengan parit besar. Bilik gua dan beberapa kutu asrama di gelar “bilik 3 kotak”. Tak ada pintu. Main selak kain ja kalau nak masuk. Bilik yang paling ramai kutu duduk. Masuk masuk ja dari pintu utama asrama 5 langkah sampai depan bilik 3 kotak. Itu kalau berjalan secara normal. Kalau melompat dalam sekali hayun ja.

Berbalik kepada kuliah tadi, pensyarah yang bagi kuliah pun gua tak ingat nama. Seingat gua kuliah masa tu bahasa inggeris. Disebabkan PKK masa tu cuma menumpang Sekolah Menegah Teknik KK, maka kelas pun teramatlah kurang. Ada 3 bangunan SMTKK bagi tumpang dekat PKK. Satu bangunan dijadikan asrama, satu lagi pusat pentadbiran dan satu lagi bilik kuliah dan bilik pensyarah. Kuliah bahasa inggeris masa tu ditukar ke satu lokasi betul-betul tepi koperasi. Ada gaya macam stor. Nampak usang. Kipas pun lain macam dia punya pusing.

Pagi nak ke tengahari itu memang panas. Gua dan beberapa kutu asrama kucar kacir bersiap nak ke kuliah. Itu pun sempat lagi nyala rokok dalam bilik. Jarak dari asrama ke lokasi bilik kuliah masa tu cuma dalam 20-30 langkah sampai. Dekat sangat. Azrai turun awal. Sebagai ketua kelas, dia sibuk ‘incas‘ bagi tahu pelajar lain yang tak tahu lagi lokasi kelas masa tu. Gua macam biasa. Turun lambat. Sambil kunyah amplang, sampai-sampai saja sempat lagi gua pau rokok sedap Ryan.

Nak dijadikan cerita, gua duduk selang tiga meja dari kiri. Ryan pula duduk tengah selang dua orang makwe sebaris dengan gua. Kipas siling betul-betul di atas kepaa Ryan gua dah kasi ‘speed’ sedap sedap membelai orang kata. ‘Speed’ 5. Bunyi dan pusingannya juga agak garang.

‘Krrr…krrraaaa…krrraaaa…krrrrffghh’

Kemudian seorang pensyarah wanita melangkah masuk. Gayanya macam seorang veteran berpengalaman yang dah dapat surat panggilan naik haji.

Pung pang pung pang..!! sembang pensyarah.

Pung pang pung pang santau, pung pang pung pang roti separuh harga, pung pang pung pang kembara, sembang kami pula rancak dibelakang.

‘Krrreok…krrraaaa…krrreok…krrrrffghh’

Aksi kipas siling semakin garang. Dua tiga kali gua berulang alik memandang kipas-pensyarah, kipas-Ryan, kipas-pensyarah. Tiba-tiba.

Pow..!! pow..!! kruk…!! krak..! dup..!! zazz..! keletang..!! keleting..!!

Kipas jatuh atas kepala gua. Betul-betul tengah kipas yang bulat tu. Pandangan gua jadi kabur seketika. Kemudian gua pandang Ryan. Darah bercucuran keluar. Azrai dengan pantas meluru ke Ryan dan memegang kepala Ryan agar dapat menahan darah daripada keluar dengan sesuka hati. Sempat juga gua senyum nipis melihat gelagat ketua kelas. Kelas jadi kucar-kacir.

***

Ryan di hantar ke hospital untuk menerima jahitan. Gua pula menapak pergi kena teh tarik madras dekat kedai mamak belakang Gereja St. Simon dengan kepala benjol. Hasil dari laporan siasatan, kipas tersebut tercabut dari siling dan semasa jatuh kabel kipas tak putus dan masih terpasang. Dan jatuh mengikut aliran punca kabel. Maknanya, walaupun kipas siling tu berada betul-betul di atas kepala Ryan tapi jatuhnya menghala ke gua. Manakala bilah kipas menghala kepala Ryan. Gua dapat benjol dan Ryan dapat logo ‘Nike’ cap bilah kipas.

Seminggu selepas kejadian itu sempat juga kami berbincang pasal nak claim insurans. Tapi tak dapat. Gua harap Kementerian Pengajian Tinggi dapat pantau benda-benda macam ni. Jangan biarkan bilik kuliah terlalu usang dan membahayakan keselamatan pelajar. Yang penting jangan sampai pelajar buat saman tanda protes. Kalau boleh kasi pasang ekon, pasang ekon. Jangan asyik memunah duit pelajar saja. Gua dengar cerita Ryan nak saman PKK masa tu.

Semenjak dari kejadian tersebut, tiap kali gua pilih tempat duduk gua akan pastikan kipas tersebut beraksi dengan selamat.

Related Posts:


About this entry